Wednesday, November 4, 2009

Tugasan 3 : Pembentangan Kolokium DPLI UKM Ambilan Januari 2009

Meningkatkan Penguasaan Huruf Hijaiyyah Dengan Menggunakan Pendekatan Talaqqi (berhadapan dengan guru) Bagi Pelajar Bermasalah Pendengaran Tingkatan Lima SMPK Vokasional Shah Alam (P).

Kajian ini dijalankan oleh Asparila Bt Che Mat, Nawal Bt Samsudin dan Nor Afsah Bt Md Noor yang merupakan pelajar DPLI UKM Ambilan Januari 2009. Kajian ini bertujuan untuk meningkatkan tahap penguasaan huruf hijaiyyah dikalangan pelajar. Seramai 15 orang responden terdiri daripada pelajar lelaki tingkatan 5 diambil sebagai sampel.

Objektif

Terdapat 2 jenis objektif yang dinyatakan dalam pembentangan di Palm Garden Hotel, pada 26 Oktober 2009 oleh ketiga – tiga pembentang. Objektif umum kajian ialah untuk meningkatkan penguasaan pelajar tingkatan 5 dalam mengenal huruf hijaiyyah. Manakala objektif khusus pula adalah untuk menarik minat pelajar tingkatan 5 dalam mengenal huruf hijaiyyah dan untuk meningkatkan kemahiran mengingat huruf hijaiyyah dikalangan pelajar tingkatan 5.

Pernyataan masalah

Kajian dijalankan berdasarkan 4 penyataan masalah iaitu: (1) adakah pendekatan talaqqi yang digunakan akan meningkatkan penguasaan huruf hijaiyyah dikalangan pelajar?; (2) bilakah kajian ini dijalankan terhadap pelajar?; (3) adakah pendekatan talaqqi yang digunakan sesuai untuk semua pelajar?; dan (4) adakah pendekatan talaqqi yang digunakan dapat membantu pelajar mengingat dengan mudah?.

Pengumpulan dan analisis data

Ujian secara lisan, bertulis dan temubual bersama guru dan beberapa orang murid telah digunakan untuk mengukur tahap pencapaian penguasaan huruf hijaiyah. Temubual dijalankan untuk mendapatkan maklumat mengenai masalah yang dihadapi oleh pelajar dalam menguasai huruf hijaiyah. Hasil dapatan kajian melalui temubual, pengkaji mendapati bahawa respon yang positif dari guru yang mengajar Pendidikan Islam terhadap penguasaan jawi dikalangan 15 orang pelajar selepas diperkenalkan pendekatan talaqqi. Manakala, ujian menulis, mengenal dan membaca adalah untuk mengetahui sejauh mana masalah kebolehan pelajar. Pengkaji mendapati proses pengajaran dan pembelajaran melalui pendekatan talaqqi yang diperkenalkan kepada pelajar telah memberi kesan yang positif. Ini dapat dilihat melalui analisis pencapaian ujian formatif sebelum dan selepas diperkenalkan pendekatan talaqqi.

Cadangan Penambahbaikan

Berdasarkan kajian yang dilakukan, pengkaji turut mencadangkan bahawa pendekatan talaqqi yang digunakan akan membantu para pelajar menguasai huruf hijaiyyah dan pihak sekolah akan mengadakan kelas pemulihan jawi dan mewujudkan pengajaran jawi sekurang-kurangnya satu kali seminggu. Melalui sesi perbincangan dan soal jawab, beberapa isu berkaitan penerapan nilai – nilai murni dalam sesi P&P yang dijalankan dan juga tempoh masa yang diambil bagi menjalankan pendekatan talaqqi. Selain itu, didapati bahawa pendekatan talaqqi juga merupakan pendekatan pembelajaran secara langsung kerana guru perlu menjalankan prose’s P&P secara berhadapan dengan pelajar.

Meningkatkan Penglibatan Aktif Pelajar Semasa Proses Pengajaran Dan Pembelajaran (P & P) Melalui Kaedah Permainan Di Dalam Kelas 4 Dedikasi SMK Bandar Rinching.

Kajian ini telah dijalankan oleh Nor Zira Bt Shafie dan Norbahariah Bt Baharin. Sesi pembentangan kajian oleh kedua - dua pengkaji telah diadakan pada 27 Oktober 2009.

Penyataan masalah

Terdapat 4 penyataan masalah yang dinyatakan oleh pengkaji iaitu: (1) pelajar didapati tidak memberi perhatian seratus peratus, (2) pelajar malu bertanya, (3) pelajar kurang berkeyakinan meluahkan pendapat atau memberi jawapan secara individu apabila disoal di dalam kelas dan (4) pelajar lemah dalam aspek kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis (KBKK). Pengkaji turut menggariskan rasional kajian yang dijalankan adalah untuk meningkatkan keyakinan dan penglibatan aktif pelajar di dalam Pengajaran dan Pembelajaran (P&P), memperkembangkan kemahiran komunikasi di kalangan pelajar supaya lebih berani bersuara berkongsi pendapat dan memberi jawapan apabila disoal di dalam kelas dan mengurangkan perasaan malu bertanya terhadap isi pengajaran yang tidak difahami.

Objektif

Pengkaji membentangkan 4 objektif kajian iaitu: (1) pelajar akan lebih aktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran, (2) pelajar lebih berani dan berkeyakinan untuk memberi pendapat atau jawapan apabila disoal di dalam kelas., (3) pelajar dapat mengurangkan perasaaan malu bertanya terhadap isi pengajaran yang tidak difahami, dan (4) pelajar dapat memperkembangkan dan mengaplikasikan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis (KBKK) dalam pembelajaran.

Metodologi kajian

Model Kemmes & Mac Taggart : Gelungan Skema kajian Tindakan Berterusan telah diaplikasikan dalam penyelidikan pembentang. Semasa refleksi awal dilakukan, masalah yang dikaji dikenalpasti selepas dua kali sesi pengajaran dijalankan. Refleksi dilakukan daripada markah Ujian Setara 2 Tingkatan 4 yang dijalankan pada bulan Ogos 2009 sebagai instrumen Pre-Test. Selain itu, antara aktiviti merancang dalam kajian tindakan adalah seperti merancang permainan bola hikmah, dam ular dan permainan dart yang akan dijalankan pada bulan Ogos sehingga awal bulan Oktober. Pada peringkat seterusnya, iaitu refleksi, penambahbaikan dilakukan seperti aktiviti individu ditukar kepada berkumpulan pada permainan ke dua, pembahagian kumpulan lebih kecil dilakukan pada permainan ketiga, masa perbincangan dan menjawab soalan ditetapkan dan soalan yang lebih mencabar dan memerlukan kemahiran berfikir diberikan pada permainan ke-2 dan ke-3.

Pengumpulan dan analisis data

Pengumpulan data dilakukan oleh pengkaji dalam beberapa kaedah. Dapatan kajian melalui Pre-test yang dijalankan mendapati bahawa pelajar adalah lemah dalam bahagian subjektif terutama subjek sains dan sebahagian besar pelajar meninggalkan ruang kosong pada bahagian subjektif. Purata markah pelajar yang lulus 40%-45% iaitu seramai 7 orang. Sewaktu pemerhatian dilakukan pula, pengkaji mendapati sebelum kaedah permainan dijalankan, pelajar lebih gemar diam atau menjawab ‘tidak tahu’ apabila disoal Selepas permainan, pelajar dilihat sudah berani mencuba walaupun kadangkala kurang tepat. Selain itu, pelajar lebih kerap bertanya soalan jika tidak faham dan teruja semasa sesi permainan. Berdasarkan soal selidik yang dilakukan, pengkaji mendapati bahawa seramai 32 orang pelajar memberi markah 4(setuju) dengan kaedah permainan yang digunakan. Pelajar juga bersetuju kaedah permainan dapat mengembangkan kemahiran berfikir dan meningkatkan keyakinan Dalam sesi temubual pula, pengkaji dapat mengetahui bahawa pelajar berpendapat setiap guru sepatutnya menggunakan kaedah ini bagi setiap mata pelajaran. Kaedah permainan di dalam kumpulan juga dapat membantu meningkatkan keyakinan mereka untuk berinteraksi di dalam kelas. Terdapat juga pelajar yang mencadangkan permainan bercorak interaktif dibuat semasa proses P&P. Akhir sekali, dalam Post-test yang dilaksanakan, pengkaji mendapati bahawa pelajar didapati lebih berani menjawab soalan subjektif dan terdapat peningkatan markah terutama pada subjek sains kertas 2.

Cadangan penambahbaikan

Setelah meneliti data yang dikumpulkan, pengkaji membuat kesimpulan bahawa kaedah permainan dapat meningkatkan penglibatan aktif pelajar semasa sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Disamping itu, kaedah yang berpusatkan pelajar akan lebih membantu meningkatkan keyakinan pelajar selain dapat mengembangkan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis.

Berdasarkan pembentangan pada Kolokium DPLI Ambilan Januari 2009 tersebut, dapatlah dinyatakan bahawa bagi melaksanakan satu kajian tindakan, seorang penyelidik perlu terlebih dahulu mengambil kira perkara – perkara penting seperti menetapkan penyataan masalah dan objektif kajian. Kemudian, penyelidik juga perlu menentukan metodologi kajian yang ingin digunakan, setting kajian dan bilangan sampel. Kebanyakan pengkaji tidak lari dari menyatakan proses pelaksanaan Kajian Tindakan yang merangkumi empat langkah iaitu merancang, bertindak, memerhati dan mereflek. Langkah-langkah ini dilaksanakan secara berurutan dalam bentuk gelungan. Gelungan Kajian Tindakan ini telah dicadangkan oleh Kemmis dan Mac Taggart pada 1988.

Langkah tersebut juga menerangkan bahawa Kajian Tindakan adalah satu langkah berterusan oleh guru untuk menilai dan mengesan keberkesanan amalan sendiri. Melalui langkah-langkah mengesan dan menilai itu data dikumpul untuk dijadikan panduan mengubahsuai amalan lalu supaya keberkesanan amalan mengajar seterusnya dapat dipertingkatkan.

Kajian Tindakan menyarankan supaya guru mengubah amalan mengajar. Perubahan yang disarankan ialah dari segi mengubahsuai amalan secara berperingkat berasaskan data yang telah dikutip. Guru bukan sahaja memainkan peranan sebagai penyelidik tetapi beliau juga adalah pihak yang dikaji. Sebagai penyelidik guru mengumpul dan menganalisis data, mencadangkan aktiviti P&P serta melaksanakan sendiri aktiviti tersebut. Kajian Tindakan yang bertujuan untuk menangani pelbagai masalah P&P lebih menepati matlamat untuk membimbing murid mencapai tahap cemerlang dalam pendidikan.

Berasaskan pertimbangan itu juga amalan menyelidik menggunakan pendekatan Kajian Tindakan wajar dilakukan berterusan supaya sebarang masalah berkaitan pembelajaran yang timbul dapat ditangani. Dalam usaha untuk memahami proses P&P pula, langkah-langkah kajian ditumpukan untuk meningkatkan keberkesanan aktiviti P&P bukan untuk menentukan atau mengenalpasti sama ada sesuatu langkah lebih baik atau berkesan daripada yang lain. Pendekatan atau bahan P&P yang dianggap baik boleh digunakan untuk menangani sebarang masalah pembelajaran yang dikaji.

No comments:

Post a Comment